Diabetes yang bermula apabila anda disahkan mengandung dikenali sebagai Gestational Diabetes.
Ianya terjadi apabila terdapat kerintangan Insulin – sejenis hormon
yang dihasilkan oleh badan manusia untuk mengawal atur kawalan paras
gula di dalam darah, untuk memenuhi keperluan ketika mengandung.
Hasilnya, paras gula di dalam darah meningkat.
Pada kebiasaannya, keadaan Gestational Diabetes terjadi pada pertengahan ataupun pada lewat usia kandungan.
Keadaan Gestational Diabetes
ini kerap berlaku. Kadar kebiasaannya, dalam 100 orang wanita
mengandung, 18 orang akan menghidapi penyakit ini. Dalam erti kata lain,
18 % wanita mengandung akan ‘dihantui’ dengan masalah ini. Amat biasa
bukan?
Apakah risiko-risiko bagi saya untuk menghidapi Diabetes ketika hamil?
Anda berisiko tinggi menghidapi Diabetes
ketika mengandung, jika anda mempunyai salah satu daripada
faktor-faktor yang tertera di bawah:
- Indeks Jisim Badan (BMI) adalah 30 ataupun lebih
- Sejarah kelahiran bayi besar, melebihi 4 kg ataupun lebih
- Sejarah kandungan yang mempunyai Diabetes ketika mengandung
- Ibu bapa, adik-beradik yang juga mempunyai Diabetes
Bagaimana saya tahu jika saya mempunyai kencing manis dalam kehamilan?
Jika anda mempunyai salah satu faktor
seperti yang tertera, anda akan menjalani ujian toleransi glukosa (GTT)
ketika mengandung. Ini adalah sejenis ujian mudah yang dijalankan pada
awal peringkat kandungan dan akan diulang pada usia kandungan 24 hingga
28 minggu.
Ujian toleransi glukosa GTT memerlukan
anda untuk berpuasa semalaman iaitu tidak makan atau minum, kecuali air
kosong/ air mineral sahaja.
Pada awal pagi nya, sebelum anda
menikmati sarapan, ujian darah akan dijalankan terlebih dahulu. Kemudian
anda akan diminta untuk menghabiskan larutan gula yang berperisa Oren
atau Cola.
Kemudian, ujian darah akan diulang sekali lagi selepas 2 jam anda menikmati larutan gula ini. Mudah bukan?
Jika anda menghidapi kencing manis pada
kandungan sebelumnya, anda akan diminta membuat ujian toleransi glukosa
GTT ini pada lebih awal kandungan untuk pengesanan awal Diabetes ketika
mengandung, justeru dapat mengawal atur paras gula di dalam darah. Kawal
atur gula di dalam darah pada peringkat awal mengandung adalah teramat
penting dalam tempoh pembentukan organ-organ penting bayi anda pada
ketika ini dan mengurangkan komplikasi Diabetes pada bayi dan juga ibu.
Jika keputusan ujian toleransi glukosa GTT normal, ujian ini perlu
diulang pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu kandungan.
Apakah kesan kencing manis pada kehamilan saya?
Kebanyakan ibu yang menghidapi Diabetes
ketika mengandung ini tidak mempunyai masalah sepanjang proses kehamilan
dan rata-rata melahirkan bayi yang sihat dan comel, tetapi terdapat
segelintir kes Diabetes ini membawa masalah yang serius pada ibu dan
juga bayi, lebih-lebih lagi jika Diabetis tidak dikesan awal dan dirawat
dengan optimum. Kebolehan untuk mengesan awal Diabetes ketika
mengandung dan mengawal atur paras gula dengan optimum dapat
mengurangkan banyak risiko serta komplikasi yang berkaitan.
Amatlah penting ibu-ibu sekalian
memastikan paras glukosa di dalam darah terkawal. Jika paras gula di
dalam darah ibu kekal tinggi dan tidak terkawal, bayi akan memberikan
respon kepada paras gula yang tinggi ini dengan menghasilkan lebih
banyak insulin, di mana bayi anda akan membesar secara berlebihan di
dalam rahim, seterusnya anda akan diminta untuk bersalin lebih awal
daripada tarikh dijangka bersalin (induction), juga terdapat risiko berakhir dengan pembedahan caesaerean akibat daripada bayi besar ataupun kegagalan proses induksi (induction). Jika anda bersalin biasa pula, risiko bahu bayi tersangkut ketika kelahiran normal dan kecacatan saraf mungkin berlaku.
Risiko kematian bayi di dalam rahim (in
utero death) secara mengejut juga meningkat jika paras gula di dalam
darah tidak dikawal.
Bayi anda yang menghasilkan lebihan
hormon insulin tadi turut akan mengalami paras gula rendah pula selepas
kelahiran. Maka, bayi anda perlu dimasukkan dalam wad rawatan rapi bayi
untuk pemerhatian oleh pakar paediatrik.
Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang
mempunyai kencing manis juga mempunyai risiko menghidap kencing manis
dan masalah kegemukan bila ianya meningkat dewasa kelak.
Maka, ibu-ibu perlu mengawal paras gula
di dalam darah dalam proses kehamilan dan proses kelahiran untuk
mengurangkan risiko dan komplikasi pada ibu dan juga bayi anda.
Bagaimanakah Diabetes ketika hamil dirawat?
Jika anda menghidapi Diabetes ketika
mengandung, anda perlukan rawatan susulan oleh pakar perbidanan dan
sakit puan, pakar perubatan/ endokrinologi, pegawai zat makanan dan
jururawat diabetes. Anda akan diminta supaya membuat rawatan susulan
lebih kerap untuk pemeriksaan.
Yang penting ketika menghidapi Diabetes
adalah memastikan tabiat permakanan yang sihat dan senaman. Kebiasaanya
Diabetes ketika mengandung dapat dikawal dengan kawalan diet atau
permakanan sahaja.
Walau bagaimanapun, daripada 5 ibu yang
menghidapi Diabetes, seorang ibu memerlukan rawatan Insulin untuk
mengawal paras gula di dalam darah. Jika anda memerlukan rawatan
insulin, jururawat Diabetes akan menerangkan kepada anda bagaimana anda
boleh melakukannya.
Ibu-ibu tidak perlu risau, seharunya
kesempatan ini diambil untuk berbincang dengan pegawai zat makanan/
dietitik mengenai pemilihan makanan yang berkhasiat untuk anda dan bayi
anda, dalam masa yang sama dapat mengawal paras gula pada tahap yang
memuaskan.
Bagaimanakan proses kelahiran saya nanti? Bilakah saya akan diminta untuk bersalin?
Ibu yang menghidapi Diabetes ketika
mengandung, akan diminta bersalin pada usia kandungan 38 hingga 40
minggu, mengikut keadaan Diabetes dan kawalan paras gula dalam darah.
Cara kelahiran juga akan dibincangkan bersama anda dan pasangan,
mengenai kelebihan bersalin biasa, induced labour ataupun pembedahan caesaerean mengikut keadaan Diabetes ibu dan juga anggaran saiz bayi.
Apakah yang perlu saya lakukan selepas bersalin?
Selepas tempoh pantang 6 minggu,
temujanji akan diberikan kepada anda untuk mengulang semula ujian
toleransi glukosa GTT, untuk memastikan anda bebas daripada Diabetes
selepas kelahiran. Jika ujian ini tidak normal, anda akan dirujuk kepada
pakar perubatan/endokrinologi untuk rawatan susulan diabetes.
Wanita yang menghidapi Diabetes ketika
mengandung, mempunyai kebarangkalian 1 di dalam 3 menghidapi Diabetes
Jenis 2 dalam tempoh 5 tahun berikutnya. Justeru itu, anda dinasihatkan
untuk menjalani Ujian Glukosa berpuasa ( Fasting Blood glucose ) setahun sekali.
Bagaimana jika saya bercadang untuk hamil sekali lagi selepas ini?
Sebelum bercadang untuk mengandung lagi,
pastikan berat badan anda sesuai dengan tinggi anda, mempunyai Indeks
Jisim Badan BMI yang ideal, mengamalkan permakanan dan gaya hidup yang
sihat, untuk mengurangkan risiko anda menghidapi sekali lagi Diabetes
ketika mengandung.
Jika bercadang untuk mengandung lagi,
anda boleh memulakan pengambilan asid folik tambahan 5mg sehari sekali
sebelum menghentikan perancangan keluarga dan pada 3 bulan pertama
kehamilan. Anda memerlukan preskripsi doktor untuk ubat ini.
Kecacatan kelahiran adalah lebih tinggi
dalam kehamilan diabetik berbanding dengan kehamilan biasa. Mengambil
asid folik tambahan akan mencegah bayi anda daripada kecacatan kelahiran
seperti spina bifida yang disebabkan oleh tiub saraf yang tidak
tertutup dengan baik.
Cuba pastikan tahap gula dalam darah
anda dikawal dengan baik sebelum anda hamil dan anda akan berada dalam
keadaan yang lebih baik untuk mengawalnya sepanjang kehamilan anda. Ini
akan mengurangkan risiko masalah kesihatan bertambah bagi anda dan bayi
anda.
Kehamilan anda mungkin berisiko tinggi,
tetapi ini tidak bermakna anda akan mengalami masalah, terutamanya jika
anda terus mengawal tahap gula dalam darah anda pada tahap normal sebaik
mungkin di bawah pengawasan doktor dan petugas kesihatan anda.
Dr. Muhammad Izzat adalah seorang registrar obstetrik dan gineakologi yang bertugas di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Rujukan:
- Royal College of Obstetricians & Gynaecologist United Kingdom
*Sumber
0 comments:
Post a Comment