Hipertensi semasa mengandung adalah terdiri dari beberapa kategori:
- Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung lagi);
- Hipertensi akibat mengandung; dan
- Pra-eklampsia
Hipertensi semasa mengandung memerlukan pemerhatian dan rawatan yang rapi. Wanita hamil berisiko tinggi mengalami Pra-eklampsia atau Eklampsia (sawan) yang boleh menyebabkan kerosakan otak dan buah pinggang, masalah pendarahan dan kemudaratan kepada janin yang belum lahir.
Faktor-Faktor Am:
- Wanita berumur 40 tahun dan ke atas.
- Obes: BMI <30 kg/m2 adalah dikaitkan dengan peningkatan dua kali ganda risiko mendapat pra-eklampsia. BMI yang tinggi sebelum mengandung atau pada peringkat awal mengandung akan meningkatkan risiko kejadian hipertensi semasa mengandung.
- Sejarah kejadian hipertensi semasa mengandung di kalangan ahli keluarga, sama ada sebelah ibu atau pun adik beradik meningkatkan risiko antara 20% hingga 40%.
- Primigravida : kandungan yang pertama (2-3 kali ganda lebih tinggi risiko)
- Kandungan kembar
- Sejarah pra-eklampsia pada kandungan yang sebelumnya
- Tempoh antara kandungan yang lama
- Penyakit Hydrops, dengan uri yang besar
- Kandungan molar
Faktor-Faktor Perubatan
- Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung)
- Penyakit buah pinggang
- Diabetes
- Kehadiran antibodi Anti-fosfohipid
- Penyakit Connective tissue
- Trombofilia keturunan (Inherited thrombophilia)
Bagi golongan yang muda, andaian bahawa hipertensi yang dihidapi adalah jenis hipertensi primer (essential hypertension) tidak boleh dibuat, tanpa pemeriksaan lanjut untuk mengetahui sebab yang menyebabkan hipertensi sekunder seperti Sindrom Cushing's, Sindrom Conn's dan phaeochromocytoma. Wanita dengan hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) adalah berisiko untuk turut mendapat pra-eklampsia, bayi yang kecil berbanding umur (small for gestational age) dan placental abruption (satu keadaan di mana uri terpisah dari rahim dan menyebabkan pendarahan). Golongan wanita ini memerlukan rawatan oleh kerana risiko kejadian pra-eklampsia dianggarkan dua kali ganda.
Rawatan bagi hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) dan hipertensi akibat mengandung adalah sama. Jika hipertensi berlaku selepas 20 minggu kehamilan, kemungkinan ia melarat menjadi pra-eklampsia adalah kira-kira 15%. Hipertensi akibat mengandung lazimnya berulang semasa kehamilan yang seterusnya. Sesetengah wanita pula kekal dengan tekanan darah yang tinggi selepas kehamilan yang bermasalah akibat hipertensi akibat mengandung.
Wanita-wanita hamil mungkin mendapat sakit kepala, gangguan penglihatan, sakit di bahagian perut, loya, muntah, atau odema (bengkak, terutamanya di bahagian kaki). Malangnya, kebanyakan wanita hamil tidak mengalami sebarang gejala, menjadikan penyakit ini sukar dinilai secara klinikal. Wanita-wanita hamil perlu diberikan pendidikan kesihatan untuk mengenali tanda-tanda awal pra-eklampsia dan seterusnya mengambil langkah awal untuk mendapatkan rawatan.
Jika keadaan ini dibiarkan tanpa rawatan rapi, ia boleh melarat menjadi eklampsia atau sawan, memudaratkan ibu mengandung dan juga janin. Pra-eklampsia menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan masalah pembekuan darah, diikuti kejadian placenta abruption (satu keadaan di mana uri terpisah dari rahim dan menyebabkan pendarahan). Sebab utama kematian penghidap pra-eklampsia adalah pendarahan dalam otak dan masalah pernafasan yang serius (adult respiratory syndrome). Janin pula boleh mengalami kelemasa (masalah pernafasan), pembantutan tumbesaran dan kematian.
Remaja hamil berisiko lebih 3 kali ganda mengalami eklampsia berbanding wanita dewasa. Komplikasi akibat eklampsia termasuklah angin ahmar (strok) disebabkan oleh pengecutan salur darah atau edema (kebengkakan) di bahagian otak. Komplikasi ini lazimnya akan kembali normal dengan sendirinya, namun ada di kalangan wanita ini yang mengalami kerosakan otak yang kekal.
Wanita hamil yang berisiko tinggi memerlukan pemeriksaan dan pemantauan yang rapi, serta rujukan awal kepada doktor pakar.
|
|
Ubatan yang lazim digunakan adalah Methyldopa dan Labetolol. Wanita yang menghidapi hipertensi sedia ada (sebelum mengandung) mungkin perlu menukarkan ubatan yang mereka ambil memandangkan Angiotensin Receptor Blocker (ARB) dan Angiotension Converting Enzyme Inhibitor (ACE-I) tidak boleh digunakan semasa mengandung. Rawatan hipertensi semasa mengandung adalah bertujuan untuk keselamatan wanita yang mengandung itu sendiri. Rawatan tidak mengurangkan risiko kejadian pra-eklampsia atau kematian janin atau membantu tumbesaran janin. Pemeriksaan saringan untuk mengesan sebab-sebab lain yang menyebabkan hipertensi perlu dilakukan sekiranya hipertensi dikesan sebelum 20 minggu tempoh kehamilan. Selepas 16 minggu tempoh kehamilan, pemeriksaan saringan bagi mengesan hipertensi perlu dilakukan ke atas semua wanita yang mengandung tanpa mengira umur dan lain-lain faktor risiko.
Sasaran rawatan mungkin berbeza dari satu ke satu klinik. Untuk memastikan peredaran darah di dalam sistem darah uri-janin tidak terganggu, tekanan darah diastolik mestilah tidak kurang dari 90 mmHg. Jika pra-eklampsia terjadi, tidak kira sama ada sedikit ataupun serius, rujukan kepada doktor pakar obstetrik adalah wajib, dan pesakit diberikan rawatan dengan kerjasama pakar perubatan keluarga. Bagi kes yang tiada komplikasi, wanita tersebut dibenarkan bersalin pada tempoh kehamilan 38 hingga 40 minggu. Bagi semua kes-kes eklampsia pula, wanita ini perlu dirawat di hospital pakar, yang mempunyai unit rawatan rapi neonatal yang baik. Keputusan untuk melahirkan bayi awal perlu dilakukan oleh doktor pakar obstetrik dengan mengambil kira semua fakta klinikal bagi setiap kes.
Ada wanita akan terus mengalami tekanan darah yang tinggi. Oleh yang demikian, pemeriksaan secara berkala adalah amat penting, diikuti dengan rawatan. Wanita yang menghidapi hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) boleh kembali mengambil semula ubatan hipertensi yang diambil sebelum mengandung. ACE-I dan ARB adalah selamat untuk diambil oleh wanita yang menyusu badan. Walau bagaimanapun, pengambilan diuretics tidak digalakkan di kalangan wanita yang menyusu badan untuk mengelakkan perasaan kehausan yang melampau. Peningkatan tekanan darah yang tidak terkawal boleh terjadi selepas bersalin dan keadaan ini perlu diambil secara serius oleh kerana ia mungkin satu tanda kejadian eklampsia (yang masih boleh berlaku selepas bersalin). Jika tekanan darah kekal tinggi selepas tiga bulan bersalin, wanita tersebut boleh didiagnosa mengidap hipertensi yang kronik.
Wanita yang berisiko menghidap hipertensi semasa mengandung dan pra-eklampsia adalah turut berisiko mendapat penyakit jantung (atau kardiovaskular) apabila umur mereka semakin meningkat. Oleh yang demikian mereka perlu dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan susulan secara berkala sepanjang hayat mereka. Semua wanita yang menghidap hipertensi sebelum mengandung perlu memastikan tekanan darah mereka terkawal dengan baik selama tiga bulan sebelum bercadang untuk mengandung lagi.
|
|
*Sumber
0 comments:
Post a Comment